Syarat Baharu Mohon Visa



WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pemohon visa dari enam negara majoriti Islam perlu mempunyai keluarga rapat dengan individu atau hubungan formal dengan entiti di Amerika Syarikat (AS) untuk memasuki Washington.

Syarat itu terkandung dalam panduan baharu yang diedarkan oleh Jabatan Negara AS, kelmarin.

Mereka yang termasuk dalam hubungan kekeluargaan yang rapat itu adalah seperti ibu bapa, suami isteri, anak, adik beradik dan menantu.

Manakala golongan yang tidak termasuk dalam keluarga rapat itu adalah datuk, cucu, makcik, sepupu, ipar, tunang dan yang berkaitan.

Dokumen tersebut juga menetapkan sebarang hubungan dengan entiti AS mesti secara formal dan didokumenkan.

Difahamkan, panduan baharu tersebut dikeluarkan sebagai cara untuk mentafsirkan keputusan Mahkamah Agung pada Isnin lalu yang membenarkan sebahagian perintah eksekutif yang disekat sebelum ini dilaksanakan sementara menunggu Mahkamah Tertinggi mempertimbangkan perkara itu.

Enam negara yang akan berdepan syarat baharu itu adalah Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Dalam perkembangan berkaitan, AS turut melancarkan langkah keselamatan untuk penerbangan ke negara itu yang bertujuan untuk menghalang pengembangan larangan membawa komputer riba di dalam kabin pesawat.

Ia akan mula berkuatkuasa dalam tempoh tiga minggu yang mana memerlukan masa tambahan untuk memeriksa penumpang dan peranti elektronik peribadi.

Langkah tersebut bakal beri kesan kepada 325,000 penumpang 2,000 pesawat komersial menerusi penerbangan harian yang tiba di AS. - Reuters

Subscribe to receive free email updates: