Guru Ditahan Disyaki Lakukan Seks Luar Tabii


SIBU: Tabiat seks songsang seorang guru hingga sanggup meliwat pelajarnya lebih 50 kali terbongkar selepas ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis di Kapit, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, penahanan guru terbabit susulan laporan dibuat seorang guru lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah sejurus mangsa mengadu mengenai tabiat pelik suspek.

Sumber memberitahu BH, bertindak atas laporan polis dibuat kelmarin, polis melancarkan usaha mengesan suspek sebelum berjaya mengesannya di Kapit, seterusnya menahan guru berusia lingkungan 40-an itu untuk membantu siasatan.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, remaja berusia 14 tahun itu mengalami peristiwa hitam itu sejak berusia 12 tahun dan belajar di Tahun 6 di salah sebuah sekolah rendah di Kapit.

"Mangsa mendakwa diliwat lebih 20 kali di kuarters guru dan sebuah hotel murah di bandar berkenaan. Difahamkan, insiden berkenaan berlaku antara Ogos hingga Disember 2015," katanya.

Sumber berkata, tertekan dan mengalami trauma susulan kejadian itu, mangsa bertukar ke sekolah lain di Mukah, namun terus menjadi sasaran pelampias nafsu songsang guru terbabit.

Katanya, kali ini mangsa diliwat di sebuah rumah di Kemunyang, di sini, selain hotel bajet.

"Mangsa mendakwa diliwat lebih 30 kali sepanjang tahun lalu. Sepanjang 2017, suspek terus mengulangi perbuatan terkutuknya antara Februari hingga Mei lalu di Mukah.

"Tertekan dengan keadaan itu, mangsa menceritakan detik hitam berkenaan kepada guru di sekolah baharunya yang kemudian membuat laporan polis hingga membawa kepada penahanan suspek," katanya.

Katanya, suspek ketika kini ditahan di lokap Balai Polis Kapit dan akan dibawa ke dibawa ke Mukah untuk mendapatkan perintah reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 377 C atas kesalahan melakukan seks di luar tabii.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau ketika mengesahkan penahanan berkenaan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan. - BHOnline

Subscribe to receive free email updates: