MASJID TANAH: Seorang wanita Rohingya pemegang kad pelarian UNHCR mengejutkan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menahannya apabila didapati mempunyai RM5,000 dalam akaun bank, petang semalam.
Wanita berusia 50 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu JKM bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di dua bazar Ramadan di daerah ini, bermula jam 4 petang hingga 7 malam semalam. Pengerusi Jawatankuasa Wanita,
Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar, berkata hasil siasatan mendapati wanita itu sudah enam kali ditahan dalam tempoh dua tahun kerana kegiatan mengemis.
"Pemeriksaan dilakukan anggota penguatkuasa kira-kira jam 6.30 petang tadi di bazar Ramadan Masjid Tanah menemui wang tunai RM50 pada wanita warga asing ini dan siasatan susulan mendapati, dia juga mempunyai wang sebanyak RM5,000 dalam akaun bank.
"Kerajaan negeri memandang serius kegiatan ini dan akan memantau secara lebih kerap kerana dikhuatiri golongan terbabit dimanipulasi oleh sindiket tertentu," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Latipah berkata sepanjang tempoh lima bulan tahun ini, seramai 89 pengemis dan kutu raya dikesan melakukan kegiatan mengemis, yang mana 52 adalah warga tempatan, manakala bakinya warga asing.
"Sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 121 golongan sama ditahan dengan 100 daripadanya warga tempatan, baki selebihnya warga asing," katanya. - BHOnline