KUALA LUMPUR: Persoalan bagaimana rangka sebuah helikopter Nuri M23-15 boleh berada di sebuah bengkel barang lusuh di Sungai Petani, Kedah seperti yang viral di media sosial, kelmarin terjawab apabila Kementerian Pertahanan tampil memberi penjelasan semalam.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Pertahanan menjelaskan helikopter itu adalah milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbabit dalam kemalangan di Pulau Perak pada Disember 2013.
Bagaimanapun, katanya kerajaan memutuskan untuk melupuskan aset itu selepas Pemeriksaan Pelupusan aset alih yang dilaksanakan pada 14 November tahun lalu mendapati keadaan fizikal helikopter itu mengalami kerosakan teruk dan tidak tidak dapat digunakan lagi.
"Memandangkan fizikal helikopter Nuri mengalami kerosakan teruk
dan pihak kerajaan terpaksa menanggung kos membaiki rangka pesawat yang amat tinggi, maka kerajaan memutuskan untuk terpaksa melupuskannya dan tidak dibaiki sebagai bahan pameran di mana-mana muzium.
"Fizikal pesawat itu hanyalah rangka kosong dan pelupusan rangka itu adalah secara jualan sisa yang dipotong terlebih dulu manakala, komponen mekanikal dan juga sistem sudah pun dikeluarkan dan diserahkan kepada TUDM untuk dibaik pulih bagi kegunaan operasi," katanya.
Kenyataan itu berkata, atas faktor keselamatan rangka helikopter itu dikeluarkan dari Pangkalan Udara (PU) Butterworth pada 9 Jun lalu dan dihantar ke bengkel barang lusuh berkenaan untuk kerja-kerja pemotongan.
"Bagaimanapun, kerja pemotongan rangka helikopter itu hanya dapat dibuat semalam dan dijangka selesai selewat-lewatnya Jumaat ini," katanya.
Katanya, gambar pesawat Nuri di bengkel berkenaan yang dimuat naik dan disebarkan di media sosial sejak kelmarin, menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pihak tertentu serta mencalarkan imej Kementerian Pertahanan amnya dan TUDM khususnya. - BHOnline