KUALA LUMPUR: Dua pelari negara, Khairul Hafiz Jantan dan T Aravin masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara 200 meter (m) lelaki di Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand 2017, petang semalam.
Khairul Hafiz mencatat 21.46 saat (s) untuk menamatkan saingan di tempat kedua manakala Aravin ketinggalan 0.01s di tempat ketiga. Pingat emas diraih wakil tuan rumah dengan catatan 21.39s.
Jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim, berkata secara keseluruhan dia berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan yakin masing-masing mampu menjelmakan prestasi kemuncak menjelang Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos nanti.
"Apa yang dapat saya lihat, pada jarak 5 meter terakhir, badan Khairul Hafiz agak tidak stabil untuk menamatkan larian. "Apa pun, saya berpuas hati melihat perkembangan yang ditunjukkan. Dia sudah berada di landasan betul untuk menyerlah di Sukan SEA.
Jadi baki masa yang ada kira-kira dua bulan akan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi mereka," kata Mohd Poad kepada BH Sukan.
Sementara itu dalam acara 200m wanita pula, S Komalam turut menceriakan kem negara apabila meraih pingat gangsa dengan catatan 24.53s.
Gelaran juara diraih Tu Chinh Le dari Vietnam (23.52s) dan perak milik Veronica Shanti Pereira dari Singapura (23.74s).
Dalam acara 400m lelaki pula, Badrul Hisyam Abdul Manap meraih pingat perak dengan kepantasan 47.77s manakala emas dicipta atlet dari Sri Langka, K K Hewa Kumarage dengan catatan 47.55s manakala gangsa milik wakil Thailand dengan catatan 48.17s. - BHOnline