SYDNEY: Hampir 2,000 pemohon suaka yang ditempatkan di pusat tahanan terpencil di Papua New Guinea (PNG) selama lebih dua tahun akan menerima pampasan A$70 juta (RM227.13 juta) selepas kerajaan Australia bersetuju menyelesaikannya di mahkamah.
Seramai 1,905 tahanan lelaki di kemudahan itu antara November 2012 dan Disember 2014 memfailkan tuntutan perundangan tahun lalu ke atas kerajaan Australia dan dua kontraktor yang mengendalikan kem di Pulau Manus PNG itu.
Kem itu adalah satu daripada dua kemudahan dimiliki Australia untuk memproses pemohon suaka yang diktirik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi kerana keadaan daif dan dakwaan penderaan berterusan.
Peguam daripada firma Slater & Gordon mewakili kumpulan berkenaan berkata, kerajaan Australia dan syarikat keselamatan, G4S dan Broadspectrum, kini milik Ferrovial, akan secara bersama membayar pampasan itu.
Mereka berkata, wang pampasan akan diagihkan dalam kalangan bekas dan tahanan terkini menurut tempoh penahanan dan tahap kecederaan serta penyakit dideritai mereka.
Peguam itu berkata dalam sidang media di Melbourne, kerajaan juga akan membayar kos mahkamah. Mereka percaya ia adalah kes terbesar membabitkan pembayaran ganti rugi hak asasi manusia dalam sejarah Australia.
"Penghuni yang ditahan di kem Pulau Manus berada dalam keadaan yang sangat daif namun mereka kini tidak lagi perlu menderita di dalam diam," kata peguam.
Kerajaan Australia mengesahkan penyelesaian itu, yang dikatakannya ditandatangani untuk menyelamatkan pembayar cukai daripada perbicaraan mahal.
Menteri Imigresen Peter Dutton menyifatkan penyelesaian kes itu sebagai satu keputusan berhemah. -Reuters/AFP