Selangor Paling Tinggi Catat Kes Demam Denggi


PUTRAJAYA: Sebanyak 43,807 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak Januari hingga 10 Jun lalu dengan purata peningkatan 300 hingga 400 kes pada setiap minggu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata 50 peratus daripada jumlah berkenaan berlaku di Selangor iaitu 23,576 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 4,360 kes dan 3,753 kes di Perak.

"Kita perlu bersama-sama hapuskan nyamuk aedes, kerana nyamuk berkenaan menjadi vektor penyebaran banyak penyakit termasuk denggi, chikungunya dan zika.

"Umum tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk memerangi wabak ini, sebaliknya individu atau masyarakat perlu mempunyai kesedaran dalam hal ini.

"Kita perlu meningkatkan usaha bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes ini kerana jumlah yang ditunjukkan sangat membimbangkan," katanya kepada pemberita pada sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata, pihaknya akan menyambut Hari Denggi ASEAN esok, yang turut menjadi wadah pihaknya berkongsi maklumat dan mencari jalan terbaik bagi membanteras wabak berkenaan.

"Selain itu pihak kementerian juga mahu mengetahui lebih lanjut mengenai pendekatan yang diambil negara Asean lain untuk banteras denggi, kajian terkini serta cara atau pendekatan mereka bagi selesaikan isu ini.

"Isu denggi adalah masalah ASEAN kerana hanya Singapura, Thailand dan beberapa negara ASEAN lain sahaja yang menghadapi ancaman wabak ini," katanya. - BHOnline

Subscribe to receive free email updates: