Penyewa Pemalas, Rumah Penuh Longgokan Sampah


SEORANG wanita telah dihalau keluar dari apartmennya di Thailand selepas dia menjadikan rumah sewa yang didiaminya itu sebagai pusat pembuangan sampah.

Keadaan di dalam rumah itu sangat kotor dan dipenuhi dengan sampah sarap hinggakan tidak ada ruang pun untuk berdiri.

Apartmen itu disewa sejak tujuh tahun lalu. Keadaan berkenaan hanya disedari oleh tuan rumah selepas penyewa gagal membayar sewa.

Ia menyebabkan tuan rumah bersama dengan penyelia bangunan terpaksa datang ke rumah berkenaan dan selepas ia gagal dibuka, mereka terpaksa memecahkan pintu.


Sebaik sahaja pintu terbuka, alangkah terkejutnya tuan rumah apabila melihat rumahnya menjadi tempat pembuangan sampah. Bukan sahaja sampah malah makanan basi sejak 2013 pun terdapat di dalam rumah berkenaan.

“Saya sangat terkejut dan menghubungi penyewa. Dia memberitahu bahawa ia adalah tanggungjawab pengurusan bangunan untuk membersihkan apartmen,’’ kata tuan rumah.

Penyewa juga mendakwa telah membuat bayaran sebanyak 1,200 baht agar rumah itu dibersihkan.

Tuan rumah bagaimanapun enggan menerima penjelasan dan memberi tempoh sehingga minggu ini untuk penyewa keluar dari rumah berkenaan. – Mynewshub.cc

Subscribe to receive free email updates: