Jika PAS bermaruah, mereka harus berundur dari Selangor - Pemuda Umno

Pemuda Umno hari ini mencabar PAS supaya berundur daripada kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR sekiranya parti itu mempunyai maruah sedangkan kehadirannya tidak pernah dihargai.
Sambil menyelar PAS yang masih bergantung kepada PKR, sedangkan parti itu mempunyai kekuatan sendiri, Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin, berkata, Selangor bakal menyaksikan sebuah kerajaan campuran jika PAS berbuat demikian.
"Tetapi malangnya, PAS masih bergantung kepada PKR, umpama hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
"Kalau PAS mempunyai maruah, mereka seharusnya berundur dari kerajaan negeri Selangor dan tidak sepatutnya bersama dalam pentadbiran (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri) Mohamed Azmin (Ali)," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.
Menurut Nazir Hussin, PAS perlu menyedari bahawa kedudukan parti itu kini ibarat 'habis madu sepah dibuang' dan tidak lagi diperlukan dalam pembangkang.
Katanya, bukti itu jelas apabila terus dimalukan dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menolak untuk bekerjsama dengannya pada pada PRU akan datang.
Nazir Hussin turut mempersoalkan sama ada PAS masih sanggup diperkudakan di Selangor walaupun, muktamar parti itu yang lalu memutuskan tiada lagi kerjasama dengan PKR.
“Mereka (pembangkang) sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru antara PAS, BN dalam PRU-14.
"Saya juga mencabar (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri) Mohamed Azmin (Ali) memecat exco PAS sedia ada kerana parti itu sudah menikam PAS dari belakang," katanya.
Ketika ini, selepas pergolakan empat tahun lalu, PAS dan PKR masing-masing memegang jumlah kerusi yang sama iaitu 13 kerusi; DAP (14); AMANAH (2); Bebas (2); manakala BN kekal dengan 12 kerusi.
Pada 28 Ogos lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum ke-14 dan akan membuat persiapan untuk pertandingan tiga penjuru.

Subscribe to receive free email updates: