Jangan heret PH, Amanah gesa PKR tangani ‘kartel’ dalaman

Mujahid Yusof Rawa berkata kurangnya ketegasan Pakatan Harapan dalam hubungan dengan PAS lebih membimbangkan daripada pertandingan 3 penjuru.
mujadi-ph-1
PETALING JAYA: Amanah hari ini menuntut Pakatan Harapan (PH) bersikap tegas dalam menyekat sebarang kerjasama dengan PAS, sambil menggesa PKR supaya tidak mengheret gabungan itu di sebalik kewujudan golongan yang mahu terus berunding dengan parti Islam itu.
Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata alasan mahu “mengelak pertandingan 3 penjuru” seperti diberikan penyokong Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali akan menjadi tidak relevan sekiranya PH mengambil pendirian tegas mengenai PAS.
“Kejayaan PH meyakinkan pengundi dengan satu suara dan langkah sederap akan melenyapkan kebimbangan 3 penjuru,” kata Mujahid, bekas pemimpin PAS yang juga ahli Parlimen Parit Buntar.
“Sesungguhnya kejayaan memacak slogan: ‘PH vs BN’ akan menjawab berbagai misteri kelibat hubungan selektif PAS-PKR,” katanya, yang turut menggesa pemimpin PKR menyelesaikan penularan “kartel” dalam parti itu.
Menurutnya, ketegasan PH dalam isu hubungannya dengan PAS akan memudahkan pengundi membuat keputusan lebih mudah.
Kenyataan Mujahid hari ini susulan perpecahan yang semakin ketara di kalangan pimpinan atasan PKR mengenai hubungan dengan PAS, walaupun parti Islam itu bukan merupakan sebahagian daripada PH yang bercadang bertanding atas satu logo.
Baru-baru ini, Azmin mengakui berunding dengan PAS, tetapi berkata ia adalah berdasarkan keputusan partinya.
Tindakan itu tidak disenangi beberapa pemimpin PKR, termasuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang semalam mendedahkan wujud kemelut serius di kalangan anggota Biro Politik parti itu.
Isnin lalu, Majlis Presiden PH dihadiri pemimpin tertinggi PKR, DAP, Amanah dan PPBM memutuskan tiada kerjasama dengan PAS.
Beberapa pemimpin PAS sebelum ini menolak kerjasama dengan PKR atau PH, malah berkata ia akan memaksa pertandingan 3 penjuru pada PRU akan datang.
Penganalisis berkata pertandingan 3 penjuru akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) disebabkan undi pembangkang yang berpecah. Bagaimanapun, ada pemerhati yang berpendapat undi BN juga kini berpecah selepas penubuhan PPBM.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: