PKR KELANTAN TOLAK LANTIKAN KETUA AMK BARU!!!

Majlis Pimpinan PKR Kelantan tidak mengiktiraf pelantikan Mohd Khairul Amin Ab Rahman sebagai Ketua Angkatan Muda (AMK) negeri baharu menggantikan Dr Mohd Hafidz Rezal Amran.

Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir berkata, hal ini kerana pelantikan baharu menggantikan Dr Mohd Hafidz Rezal itu jelas tidak dibuat mengikut proses wajar dan tidak demokratik.

Menurutnya, mengikut perkara 14.4 Peraturan Tetap AMK Malaysia,  jelas menyebut pelantikan ketua AMK negeri hendaklah dirunding bersama ketua-ketua AMK cabang dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.
“Oleh yang demikian, saya dengan ini tidak mengiktiraf pelantikan ketua AMK Kelantan yang baharu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Pergolakan dalaman PKR semakin panas apabila Dr Mohd Hafidz Rezal dipecat sebagai Ketua AMK Kelantan dua hari lalu apabila dia didakwa cenderung mahu bekerjasama dengan Pas.

Bagaimanapun Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi menafikannya sebaliknya menjelaskan keputusan tersebut dibuat sebagai memenuhi permintaan ahli parti di negeri itu selepas berbincang minggu lalu.

Dalam masa sama, Ab Aziz meluahkan rasa terkejut dan kesal dengan pemecatan Dr Mohd Hafidz Resal berkenaan dan dia turut mempertikaikan proses pelantikan baharu dilakukan Nik Nazmi.
“Saya dengan ini selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Kelantan, melantik Dr Mohd Hafidz Rezal selaku koordinator untuk sayap AMK Kelantan dan menggesa semua AMK cabang memberikan kerjasama.
“Bekerjasama sebagai satu pasukan memperkukuhkan parti di negeri ini bagi melancarkan dan memudah cara segala urusan bagi persiapan parti di Kelantan menghadapi pilihan raya umum nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairul Amin dalam satu kenyataan memberitahu beliau menerima pelantikan tersebut dan berikrar akan terus memperkasakan  AMK Kelantan  serta memperkukuhkan  hubungan dalam Pemuda Pakatan Harapan negeri ini.

Subscribe to receive free email updates: