Sikap sebenar PAS akan terserlah selepas pilihan raya

UMNO tidak sepatutnya terlalu gembira yang PAS kini akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) menolak kerjasama pilihan raya dengan parti Islam itu, kata penganalisis politik.
Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Samsu Adabi Mamat berkata walaupun PAS dan Umno kelihatan rapat, PAS akan memberi perhatian utama kepada kerusi yang bakal diperolehi selepas pilihan raya dan kemudian memutuskan dengan siapa ia akan bekerjasama.
"Buat masa sekarang, nampaknya PAS sedang bekerjasama dengan Umno, tetapi kita tidak boleh mengatakan ia mempunyai kerjasama formal. PAS mengatakan ia akan menjadi blok ketiga.
"Mungkin selepas pilihan raya umum berakhir, PAS akan melihat kerusi yang dimenangi dan memutuskan pihak mana ia akan berbaik," kata Samsu daripada Pusat Penyelidikan Politik dan Keselamatan UKM.
PAS sebelum ini mengumumkan sebagai "kingmaker" dalam pilihan raya akan datang. Walaupun ia kelihatan mesra dengan Umno, pemimpinnya menegaskan perjuangan mereka dalam pilihan raya umum adalah menentang parti komponen utama BN.
Sebelum ini, PAS dan Umno berkata mereka akan bekerjasama demi Islam dan orang Melayu.
PAS dijangka membentuk gabungannya sendiri Gagasan Sejahtera dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) bulan depan.
Sementara itu, penganalisis BowerGroupAsia, Asrul Hadi Abdullah Sani, berkata rundingan mungkin berlaku antara PH dan PAS selepas pilihan raya umum, bergantung kepada keadaan.
"Saya rasa ia akan melibatkan negeri dengan negeri. Sukar dikatakan bagi peringkat kebangsaan," katanya.
Beberapa pemimpin utama PKR terbuka untuk berunding dengan bekas sekutu PAS untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru, terutamanya negeri Selangor yang diperintah oleh PKR dengan parti Islam itu mempunyai 13 kerusi negeri daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi.
PKR, DAP dan Amanah mempunyai 29 kerusi sementara baki 14 dipegang oleh BN dan dua wakil bebas.
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri dilaporkan berkata beliau bersedia berbincang dengan PAS. Timbalannya, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali juga dilihat sebagai seorang daripada penyokong utama idea itu.
Bagaimanapun, tidak semua dalam PKR memihak kepada idea berbaik dengan PAS, yang menamatkan kerjasama politiknya dengan PKR pada Mei lalu.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini menyeru kepimpinan parti mengadakan kongres khas untuk menyelesaikan isu PAS, dan begitu juga pemimpin kumpulan akar umbi, yang mewakili lebih 50 bahagian.
Semua perbincangan mengenai parti itu dengan PAS berakhir pada awal pagi Selasa apabila Majlis Presiden PH mengisytiharkan gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS.
Petang semalam, Biro Politik PKR juga mengumumkan parti itu akan tetap komited dalam usaha memperkukuhkan PH dan menyediakan strategi untuk mengalahkan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: