China Haramkan Penjualan Daging Anjing Untuk Festival Yulin



Setiap tahun penduduk di China akan menyambut perayaan Yulin di mana berjuta-juta binatang termasuk anjing serta kucing akan dibunuh dengan kejam dan dagingnya akan dijual untuk dijadikan hidangan utama perayaan itu.

Namun pada tahun ini, penjualan daging anjing akan diharamkan dijual di restoran, pasar dan penjaja. Kejayaan itu adalah hasil kempen berterusan pencinta haiwan yang mahu kegiatan berkenaan dihentikan. Turut sama terlibat dalam kempen itu adalah mendiang pelakon Star Wars, Carrie Fisher.

Pengharaman berkenaan berkuatkuasa pada 15 Jun depan iaitu seminggu sebelum perayaan berkenaan bermula. Mereka yang melanggarnya akan didenda sehingga 100,000 yuan dan turut berdepan dengan risiko ditangkap.

Perayaan Yulin bukan acara tradisi sebaliknya ia diwujudkan pada 2010 oleh penjual daging anjing untuk meraihkan keuntungan.

Sebelum ini, dianggarkan kira-kira 10 juta ekor anjing dan empat juta kucing dibunuh setiap tahun di seluruh China demi untuk dagingnya.

Ia termasuk anjing dan kucing yang dicuri daripada tuannya selain anjing liar. Binatang berkenaan akan dipukul hingga mati. Namun tidak semua penduduk di China makan daging anjing.

Selain itu, trend makan daging anjing ini membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan iaitu meningkatkan risiko taun serta penyebaran penyakit anjing gila.

Aktivis bagaimanapun melihat pengharaman itu hanya sementara sahaja.-SuaraTV

Subscribe to receive free email updates: