Menjadi perbualan di media sosial sejak semalam kononnya pengawal peribadi dan pasukan Unit Tindakan Khas yang mengiringi Tun Mahathir Mohamad telah ditarik balik oleh pihak kerajaan.
Semalam, pengawal peribadi atau ADC Tun Mahathir, Mazli Mazlan dilaporkan menerima arahan agar melapor diri dengan Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM yang mencetuskan spekulasi tugas beliau mengiringi bekas Perdana Menteri itu kemungkinan ditarik balik.
Di media sosial, ramai yang menulis mengenai penarikan balik tugas Mazli itu dan kebanyakannya melahirkan rasa kecewa serta bimbang berkenaan tindakan terbaru yang diambil kerajaan itu.
Ia bukan saja berkaitan faktor keselamatan Tun Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri, tetapi juga kerana Mazli dilihat begitu setia dengan beliau dan ketiadaannya mungkin menjejaskan keyakinan Tun Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk tampil di tempat-tempat awam selepas ini.
Namun, khabar tidak menggembirakan itu tidak berpanjangan di mana pagi ini Mazli dilaporkan sudah pun melapor diri kembali untuk bertugas semula sebagai pengawal peribadi Tun Mahathir.
Bagaimanapun, pasukan Unit Tindakan Khas seramai lima orang beserta sebuah kereta yang turut mengiringi Tun Mahathir ke mana-mana sebelum ini, kini dikatakan telah ditarik balik.
Bermula hari ini, atas kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri, bermakna Tun Mahathir dikatakan hanya diiringi dan dikawal oleh Mazli dan dua orang anggota polis biasa saja.
Sebelum ini, kerajaan turut menarik balik pengiring bermotosikal dan tukang masak yang sudah sekian lama berkhidmat dengan Tun Mahathir.
Read More / Baca Lagi >>