Azizah Mohd Dun berkata daripada jumlah itu, 28,978 ketua isi rumah adalah di kawasan bandar, manakala 35,916 lagi di kawasan luar bandar.
KUALA LUMPUR: Sejumlah 64,894 ketua isi rumah berdaftar bawah Sistem eKasih dengan berstatus miskin tegar sehingga 12 Oktober lalu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Azizah Mohd Dun berkata daripada jumlah itu, 28,978 ketua isi rumah adalah di kawasan bandar, manakala 35,916 lagi di kawasan luar bandar.
“Dalam memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan selaras dengan konsep inklusiviti, kerajaan amat prihatin terhadap golongan miskin dan sentiasa berusaha membasmi kemiskinan.
“Terdapat pelbagai program dan bantuan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan pusat dan negeri, khususnya bagi memastikan kadar kemiskinan terus dikurangkan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan) berhubung bilangan mereka yang dikategorikan sebagai golongan miskin tegar dalam dan luar bandar serta jumlah ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) yang mendapat bantuan kementerian itu.
Azizah berkata antara langkah diperkenalkan kementeriannya termasuk program Inkubator Ibu Tunggal (I-KIT) dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNita) yang kini dikenali sebagai ‘Development of Women Entrepreneurs Initiative’ (DEWI), bermatlamat untuk memberi latihan kepada golongan sasar menjana pendapatan dan meningkatkan kualiti hidup.
Katanya, kementerian turut menyediakan bantuan kepada warga emas, OKU dan pesakit terlantar yang menyaksikan sehingga Ogos lalu, 134,789 warga emas mendapat manfaat Skim Bantuan Orang Tua dengan kadar RM300 sebulan, melibatkan peruntukan lebih RM360 juta.
Read More / Baca Lagi >>